KUCHING: Sebanyak 5,875 kes jenayah siber direkodkan di Sarawak bagi tempoh 2024 hingga April 2026 membabitkan jumlah kerugian mencecah RM233.48 juta.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata jumlah itu menunjukkan penipuan siber terus memberi kesan besar kepada masyarakat.
Pada 2024, sebanyak 1,957 kes direkodkan dengan kerugian RM76.71 juta, manakala 2,662 kes dengan kerugian RM109.17 juta dicatatkan pada 2025.
“Jumlah kerugian ini bukannya kecil.
“Amat menyedihkan apabila membaca laporan akhbar mengenai golongan pesara atau pendidik yang kehilangan seluruh wang simpanan hayat mereka akibat ditipu,” katanya pada Majlis Penangguhan Program Wacana Bestari: Klik Bijak, Waspada Jenayah Siber, di sini, hari ini.
Beliau berkata, penjenayah siber kini bergerak secara profesional dengan menggunakan skrip dan naratif khusus bagi memperdayakan mangsa.
Antara taktik digunakan termasuk menyamar sebagai pihak berkuasa, mewujudkan desakan supaya mangsa bertindak segera serta menawarkan pulangan wang yang tinggi.
“Penjenayah ini bergerak secara profesional.
“Mereka dibekalkan dengan skrip dan naratif khusus yang disusun rapi untuk memperdayakan mangsa,” tambahnya.
Fatimah berkata, penggunaan teknologi dalam urusan harian turut membuka ruang kepada penipuan menerusi media sosial, aplikasi komunikasi, platform e-dagang, akaun palsu dan pautan berbahaya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran yang kelihatan menguntungkan atau mesej yang mendesak mereka bertindak segera.
Katanya, kesedaran mengenai kaedah penipuan perlu disampaikan kepada masyarakat secara berterusan supaya orang ramai lebih berhati-hati ketika berurusan dalam talian.
