SUKMA XXI: Jumlah insentif acara berpasukan diputus esok

KUCHING: Jumlah insentif kepada atlet Sarawak yang memenangi pingat emas dalam acara berpasukan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 akan diputus dalam mesyuarat kabinet esok.

Perkara ini dinyatakan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Bagaimanapun, beliau memberi bayangan nilai insentif untuk acara berpasukan mungkin berbeza daripada atlet acara individu.

“Secara tradisi, setiap ahli pasukan akan menerima insentif seperti insentif atlet individu, tetapi ini mungkin berubah.

“Kita akan membincangkannya dalam mesyuarat kabinet esok,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian pingat sukan skuasy di Pusat Skuasay Sarawak, di sini, hari ini.

Pada 16 Ogos lalu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis penyampaian pingat kepada pemenang acara taekwondo mengumumkan pemenang pingat emas Sarawak akan menerima RM15,000.

Bagaimanapun, jumlah insentif tersebut tidak didedahkan secara terperinci sama ada untuk pemenang acara individu mahupun berpasukan.

Bagi pemenang perak pula akan meraih RM5,000 dan RM3,000 (gangsa).

Sementara itu, Abdul Karim yakin Sarawak berpeluang untuk mencapai sasaran 70 pingat emas sekali gus merampas semula mahkota kejuaraan SUKMA kali ini.

Setakat jam 7 malam ini, Sarawak masih mendahului negeri-negeri lain dengan pungutan 54 pingat emas, 33 perak dan 42 gangsa.