KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia membantu membangunkan sukan di seluruh negara supaya negara tidak ketandusan atlet pada masa akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak telah memberikan terbaik dalam menyediakan perkhidmatan sepanjang berlangsung Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024.
”Kerajaan Sarawak (telah) memberi perkhidmatan terbaik dan berharap ia akan menjadi penanda aras dalam kita hendak memupuk tali persaudaraan dalamm kalangan atlet dan anak muda Malaysia.
”Sudah semestinya tiada yang 100 peratus sempurna tetapi kalau ada sedikit sebanyak kekurangan bagi pihak menteri bertanggungjawab dan rakan-rakan saya mohon maaf tetapi secara keseluruhannya kita telah beri yang terbaik untuk anak-anak Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan SUKMA XXI Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan, di sini, hari ini.
Hadir sama, Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim serta menteri-menteri kabinet negeri dan persekutuan.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet yang telah merekodkan prestasi cemerlang serta mempamerkan semangat keakraban dan keharmonian yang tinggi dalam diri mereka.
”Saya percaya bahawa semangat kesukanan, perpaduan, dedikasi dan disiplin tinggi akan memberikan masa depan cerah bukan saja kepada anak-anak muda tetapi seluruh rakyat Malaysia pada masa akan datang,” ujarnya.
GAMBAR:JAPEN
