LAWAS: Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (SABATI) merancang mengadakan program pendidikan Sains, Teknologi dan Kejuruteraan (STEM) kepada pelajar sekolah seluruh Sarawak.
Ini menggunakan sumbangan kewangan kepada program itu daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebanyak RM1.3 juta.
Timbalan Presiden SABATI, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud berkata, Petros juga menyumbang sebanyak RM1 juta kepada program tersebut.
“Dengan adanya kewangan sebanyak RM1 juta yang disumbang Petros, kita merancang menggunakannya untuk seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada penutupan Bengkel Kecemerlangan SPM dan Kem Karnival STEM 2024 anjuran SABATI yang dirasmiTimbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sundar di sini.
