KUCHING: Seramai 304,622 warga emas berdaftar sebagai pemegang Kenyalang Gold Card (KGC) sehingga November 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sejak KGC diperkenal 2020 pemegang kad itu mempunyai banyak keistimewaan.
Katanya, manfaat dan keistimewaan KGC merupakan diskaun/rebat atau yuran percuma untuk barangan dan perkhidmatan ditawar oleh 966 peniaga yang menjadi rakan strategik KGC.
“Di Bahagian Kuching mempunyai seramai 84,695 pemegang kad KGC,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Pendaftaran Sesi Libat Urus Senior Citizen Health Benefit (SCHB) dan Kenyalang Gold Kad (KGC) Bersama Pemimpin Masyarakat Daerah Kuching 2024 di Dewan Sabati di sini, hari ini.
Fatimah berkata, di bahagian Kuching juga terdapat 277 peniaga yang telah berdaftar sebagai rakan strategik KGC.
Keistimewaan lain yang ditawarkan ialah dalam bidang kesihatan (perubatan dan pemulihan), pengangkutan awam dan barangan keperluan seperti runcit, baju, kasut, optikal, penjagaan diri iaitu refleksologi dan dandanan rambut.
Selain itu, Pemberian Bantuan Ihsan Kematian merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak kepada waris pemegang KGC.
“Ini bagi meringankan beban keluarga menanggung kos pengebumian pemegang KGC yang meninggal dunia,” tambahnya.
