KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai pengagregat gas tunggal di negeri ini akan terus bekerjasama rapat dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerjasama ini bertujuan memastikan PETROS melaksanakan peranannya sebagai pengagregat gas tunggal tanpa gangguan terhadap bekalan gas untuk pengguna termasuk pelabur.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan beliau semasa sidang media di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang secara jelas mengiktiraf dan mengesahkan PETROS sebagai pengagregat gas tunggal di Sarawak.
“Kerajaan Sarawak menghargai peranan Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS dalam menyelesaikan isu ini.
“Langkah ini akan meningkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, PETRONAS serta PETROS.
“Kerjasama strategik sebegini akan mendorong usaha menjadikan Malaysia, khususnya Sarawak sebagai hab tenaga,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Premier Sarawak hari ini.
Premier Sarawak menambah kerjasama ini juga akan meningkatkan daya saing negara di peringkat global dalam menarik pelaburan, penyelidikan teknologi, dan industri baharu, khususnya dalam derivatif petrokimia.
Langkah ini akan menyumbang kepada penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi dan pertumbuhan ekonomi negara, katanya.
Anwar pada Selasa memberitahu isu berkaitan Petronas dan Petros mengenai hak pengagihan gas di Sarawak telah diselesaikan.
Menurutnya, Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 74) terus diterima sebagai rangka kerja utama pengurusan industri minyak dan gas negara.
Manakala, Ordinan Pengedaran Gas Sarawak 2016 juga tidak akan menggantikan PDA 74 dan Perlembagaan Persekutuan, termasuk undang-undang persekutuan lain.
