KOTA SAMARAHAN : Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melatih pemimpin masyarakat akar umbi seperti ketua kaum cara menghadapi banjir di kawasan masing-masing.
Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang memberitahu, latihan itu dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Katanya, sepanjang latihan itu pemimpin akar umbi berkenaan telah didedah tentang cara dan apakah yang perlu dilakukan apabila berlaku banjir di kawasan masing-masing termasuk proses membantu memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan terdekat.
“Alhamdulillah, hasil daripada latihan itu, pemimpin masyarakat dapat bertindak dengan pantas apabila berlaku banjir.
“Malah di kawasan saya (Parlimen Kota Samarahan) tidak banyak isu membabitkan masalah banjir kerana kita banyak mendapat bantuan sokongan daripada pelbagai pihak seperti pihak JKK termasuk golongan sukarelawan untuk membantu mangsa banjir seperti di Kampung Endap.
“Malah pada pasca banjir pula, kita juga mendapat bantuan dan sokongan daripada sukarelawan dalam membantu membersih rumah-rumah penduduk yang terjejas akibat banjir,” katanya semasa berucap merasmikan Salam Desa Kemas 2025.
Program itu bertujuan menyantuni penduduk selain mendedahkan mereka dengan peranan dan aktiviti kerajaan.
Pada majlis itu, Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan juga turut menyampaikan hadiah pelbagai pertandingan dan cabutan bertuah kepada pemenang.
