Lebih 70 projek pembangunan dilulus di bawah RADDA

SARIKEI: Peruntukan sebanyak RM1.5 bilion diluluskan bagi melaksanakan lebih 70 projek pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, ia melibatkan sektor ekonomi, infrastruktur, kemudahan awam serta bekalan asas seperti air dan elektrik.

Katanya, daripada jumlah itu, RM1.2 bilion dijangka ditenderkan tahun ini dan tahun depan.

“Kebanyakan projek dijangka siap dalam tempoh 18 hingga 36 bulan,” katanya dalam satu mesyuarat di sini, semalam.

Sasaran siap sepenuhnya adalah menjelang tahun 2027 dan 2028, katanya.

Beliau memaklumkan, setakat ini sebanyak 89 projek telah dikenal pasti di bawah RADDA, tidak termasuk projek lain di bawah inisiatif seperti Projek Rakyat dan agensi-agensi lain.

“Pelaksanaan menunjukkan perkembangan memuaskan, namun cabaran utama bukanlah kewangan, tetapi kapasiti agensi pelaksana untuk menyiapkan projek mengikut jadual,” tambahnya.

Katanya, RADDA merupakan salah satu daripada sembilan agensi pembangunan wilayah yang diwujudkan oleh kerajaan negeri bagi mempercepatkan pembangunan luar bandar, dengan setiap agensi menerima peruntukan RM1.5 bilion.

Len turut menekankan kepentingan penyelarasan rapi dan penyelesaian isu teknikal seperti pampasan dan penjajaran jalan agar projek dapat dilaksanakan dengan lancar.

Dalam hal ini, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak dan Timbalan-Timbalan Premier atas komitmen berterusan terhadap pembangunan luar bandar, khususnya di kawasan Sarikei dan Mukah.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya; Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri Dato Sri William Masan Ikom; ADUN Daro, Safiee Ahmad; ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing; Residen Bahagian Sarikei, Datu Micheal Ronnie Langgong;
Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh,