SELANGOR: Kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) terletak di Bintulu, Sarawak secara rasmi dijenamakan sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).
Penjenamaan semula UPMS diisytiharkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang juga Canselor UPM, serta Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dalam majlis penuh istiadat di Istana Alam Shah, Klang hari ini.
Dalam titah baginda, Sultan Sharafuddin menyatakan bahawa Kampus UPM Bintulu bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang pertanian, perhutanan dan keterjaminan makanan, malah berperanan sebagai pemangkin pembangunan negara, khususnya di Sarawak.
Ia bakal muncul sebagai institusi pendidikan yang berdaya saing di rantau Borneo dan peringkat antarabangsa.
“Beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, serta Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Premier Sarawak atas sokongan dan kepercayaan kepada UPM Kampus Bintulu selama ini, dalam usaha mencapai Visi Sarawak sebagai Negeri Maju 2030.
“Beta dengan sukacitanya mengisytiharkan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak dijenamakan semula sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS),” titah baginda.
Hadir menyaksikan majlis bersejarah itu, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. — UKAS
