Kerjasama PPD Kuching-KPWKM sokong perkembangan pelajar

KUCHING: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching disaran bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) untuk melaksanakan program sokongan keluarga dan keibubapaan di sekolah-sekolah.

Menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata usaha ini penting untuk membina persekitaran yang menyokong perkembangan anak-anak secara menyeluruh.

Katanya, terdapat 26 sekolah di kawasan parlimen di Santubong dan daripada jumlah itu tujuh sekolah menengah dan 19 sekolah rendah.

“Kami di Pusat Khidmat P193 sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak supaya kemudahan asas, aktiviti pembelajaran dan pelbagai bantuan lain dapat disediakan agar murid-murid dapat belajar dengan selesa dan bersemangat.

“Usaha membantu murid daripada keluarga B40 juga dipergiatkan, sama ada melalui penyediaan peralatan sekolah, bantuan biasiswa kecil, program motivasi, literasi digital mahupun STEM,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 di sini, hari ini.

Tegas Nancy, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan anak-anak di negeri ini bukan sekadar celik ilmu, tetapi juga berdaya saing dalam dunia yang semakin mencabar.

Seramai 414 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 menerima anugerah terdiri terdiri daripada lapan staf PPD Kuching, pengetua (tiga), guru besar (tujuh), 396 guru dan anggota kumpulan pelaksana daripada sekolah-sekolah di daerah Kuching.