TYT Sarawak, isteri lawat Pusat Biodiversiti Sarawak

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi mengunjungi Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC), di Semenggoh hari ini.

Beliau bersama ahli keluarga tiba di SBC pada jam 10 pagi, disambut Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad, Kontroler Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, Datu Jack Liam dan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Adana Jed.

TYT dan Toh Puan memulakan lawatan ke kawasan tanaman tumbuh-tumbuhan asli.

Mereka diberi taklimat mengenai kegunaan tumbuhan-tumbuhan yang ada, termasuk kebergantungan kaum-kaum di Sarawak terhadap tumbuhan berkenaan dalam kehidupan harian mereka.

TYT kemudiannya diberi penghormatan untuk menanam pokok Kundong (Usah Badew) oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi, sebagai komitmen terhadap kesinambungan biodiversiti tempatan.

Usai di situ, beliau dibawa melawat beberapa fasiliti utama SBC termasuk tapak penanaman alga dan Ganoderma, Makmal Kimia Analitik, Perpustakaan Produk Semula Jadi, dan Galeri Pameran.