SARATOK: Daerah ini semakin pesat membangun seiring dengan daerah-daerah lain di Bahagian Betong, hasil inisiatif berterusan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam merancakkan pembangunan luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kemajuan ini diterjemahkan melalui sambutan luar biasa penduduk terhadap pesta rakyat.
Beliau berkata, kemeriahan pesta ini cerminan kejayaan dasar pembangunan Kerajaan GPS yang dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.
“Ini bukti bahawa usaha pembangunan Kerajaan GPS benar-benar berkesan. Ekonomi rakyat semakin baik dan rakyat kini menikmati hasil kemajuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Majlis Penangguhan Pesta Saratok 2025 di Pentas Utama Sri Kalaka, hari ini.
Uggah berkata, dalam usaha mempergiatkan lagi pembangunan di Bahagian Betong termasuk Saratok, Kerajaan Sarawak menubuhkan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang diperuntukkan dana sebanyak RM1.5 bilion.
Beliau menjelaskan bahawa penubuhan BDDA adalah sebahagian daripada pendekatan baharu kerajaan negeri dalam merancang pembangunan, dikenali sebagai ‘Bottom-Up Approach’.
“Segala perancangan pembangunan diatur dengan penglibatan terus rakyat di akar umbi, dipimpin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen GPS. Ini memastikan setiap projek yang dijalankan adalah benar-benar apa yang diperlukan rakyat,” jelas beliau.
Uggah turut mendedahkan bahawa setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah BDDA telah diperuntukkan sebanyak RM200 juta, sekali gus mencipta sejarah dalam aspek peruntukan pembangunan wilayah.
Dana ini katanya akan dimanfaatkan bagi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur seperti pembinaan jalan baharu, penyediaan bekalan elektrik dan air di kawasan yang masih belum menikmati kemudahan tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak yang terus memberi sokongan padu kepada GPS pada setiap pilihan raya.
Turut hadir ialah ADUN Kalaka, Mohamad Duri, ADUN Krian, Friday Belik, ADUN Beting Maro, Razaili Gapor, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Dewan Negara, Pele Peter Tinggom, Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas dan Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid.
