JAKARTA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tiba di Jakarta bersama delegasi Kerajaan Sarawak hari ini bagi menghadiri Pra-Mesyuarat sempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Republik Indonesia serta Rundingan Tahunan Malaysia–Indonesia ke-13.
Premier Sarawak dan rombongan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma pada jam 11.17 pagi waktu tempatan sebelum meneruskan perjalanan ke Hotel Indonesia Kempinski Jakarta.
Ketibaan beliau disambut dan turut diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Ibrahim Baki yang mewakili PETROS dan Sarawak Energy Berhad.
Sepanjang berada di Jakarta, Premier Sarawak dijadual menyertai Anwar dalam beberapa siri program rasmi Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Indonesia dan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI).
Selain itu, pertemuan empat mata bersama Presiden Republik Indonesia di Istana Merdeka pada Selasa.
Program diteruskan dengan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kerjasama kesihatan antara Menteri Luar Malaysia dan Menteri Kesihatan Republik Indonesia.
Delegasi kedua-dua negara kemudian dijadual mengadakan mesyuarat rasmi dalam sesi Rundingan Tahunan ke-13 yang menjadi platform penting memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Indonesia.
Selain itu, Premier Sarawak juga akan menyertai delegasi Malaysia dalam lawatan ke Sekretariat ASEAN di Jakarta bagi menghadiri beberapa acara rasmi termasuk upacara penanaman pokok.
Selain itu, sesi bergambar sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, majlis menandatangani buku tetamu dan penyerahan lukisan sebagai simbolik komitmen terhadap kerjasama serantau.
