Kebajikan, keperluan asas diutamakan ketika bencana

Kebajikan, keperluan asas diutamakan ketika bencana

SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan, khususnya ketika berdepan situasi bencana.
“Ini dengan memastikan penyediaan keperluan asas mencukupi serta pemantauan berterusan dijalankan,” kata Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Beliau berkata demikian ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Mesra Simunjan, di sini hari ini.
Lawatan itu bagi meninjau pengurusan operasi serta tahap kebajikan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat berkenaan susulan hujan berterusan melanda daerah ini.
Beliau turut menerima taklimat situasi semasa banjir, jumlah mangsa yang terjejas serta langkah-langkah yang telah diambil oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi memastikan keselamatan dan keselesaan mangsa sepanjang berada di PPS.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe, Timbalan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Abang Ahmad Abang Julai, Residen Bahagian Samarahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Simunjan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad dan Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Rafhan Kepli.