BINTULU: Penduduk Sebauh dan sepanjang Batang Kemena diingatkan agar tidak melepaskan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di sini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menegaskan nilai tanah NCR terbabit akan terus meningkat seiring kemajuan infrastruktur di kawasan mereka.
“Jangan sesekali melepaskan hak tanah. Sekali dijual, kita tidak akan dapatnya kembali,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Pesta Sebauh 2025 di Jeti Sebauh, di sini, hari ini.
Rundi berkata, pembangunan infrastruktur sedang dan akan dilaksanakan di Sebauh termasuk jambatan merentasi Batang Kemena, tebingan baharu dan bandar baharu di seberang sungai serta jalan terus dari Sebauh ke Bintulu melalui Sepadok yang dijangka memendekkan perjalanan ke Bintulu kepada 30 minit.
