KUCHING: Seramai 100 penjawat awam terpilih menerima sumbangan daripada Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita Sarawak sempena program Sumbangan Ikhlas MAKSAK Cares di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak malam tadi.
Setiap penerima menerima wang tunai RM100 yang disalurkan melalui akaun S Pay Global serta baucar tunai Emart bernilai RM100 setiap seorang.
Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Datin Amar Baduyah Bujang pada Majlis Berbuka Puasa, Solat Maghrib, Isyak dan Sunat Terawih Berjemaah.
Sumbangan baucar ini merupakan hasil kolaborasi Exco MAKSAK Wanita Sarawak dengan Emart Holdings Sdn Bhd menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut, dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM10,000.
Inisiatif ini memberi penghargaan kepada penjawat awam Sarawak yang bertugas di jabatan kerajaan sekitar Bahagian Kuching selain membantu meringankan beban mereka sepanjang menjalani ibadah Ramadan.
Sementara itu, majlis tersebut turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan penjawat awam.
Ketibaan Abang Johari disambut oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
