Tinjauan kesejahteraan belia akan dilaksana

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) untuk melaksanakan tinjauan mengenai kesejahteraan belia di negeri ini.

Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, memaklumkan bahawa tinjauan ini dijadual pada tahun ini, setelah kali terakhir diadakan 2018.

“Tinjauan ini bertujuan menilai pandangan belia terhadap beberapa isu, termasuk persepsi mereka terhadap kerajaan serta harapan mereka terhadap pembangunan di kawasan yang dikaji,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian m selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Belia 2025 di sini, hari ini.

Tambah Abdul Karim, kajian IYRES ini akan melibatkan enam bidang utama iaitu pendidikan, ekonomi, kesejahteraan mental dan fizikal, sosialisasi politik, kenegaraan dan demokrasi, nilai serta identiti, serta kewarganegaraan digital.

Menurut beliau, hasil kajian ini akan didokumentasikan dan diserahkan kepada kementerian serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagi mendapatkan maklum balas mengenai aspirasi belia di negeri ini.